Rabu, 17 Jun 2009

Sains dalam Al Quran



Oleh W. RAHIMAH DRAMAN

MANA mungkin syiar Islam tegak berkembang dan syariat Allah diamalkan tanpa berlandaskan al-Quran, mukjizat pemberi petunjuk untuk manusia dengan dibantu sains untuk memahami hakikat dan tabie alam.
Bagaimanapun, keilmuan sains terbatas dan berubah-ubah mengikut kemampuan akal manusia, sedang keilmuan al-Quran adalah mutlak yang memberitahu hakikat seluruh alam untuk difikirkan oleh manusia.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka. (Ali Imran: 190-191).
Mafhum tersebut mengingatkan manusia mengenai peranan sebagai khalifah-Nya di muka bumi tetapi dalam masa yang mesti akur sebagai ‘hamba’ pada ketetapan-Nya.
“Tujuan sains adalah untuk manusia memahami tabie alam agar manusia boleh mengurus dan mengambil manfaat daripadanya.
“Sedang tujuan al-Quran adalah untuk memberi petunjuk kepada manusia,” tegas Pengarah Institut Islam
Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Yusof Othman.
Beliau berkata demikian ketika memberi pengisian ilmu pada Seminar Pendekatan Islam Hadhari dan Tafsir Al-Quran serta Sains baru-baru ini.
Seminar setengah hari kelolaan Pusat Islam Universiti dan Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berlangsung di Dewan Sri Pulasan, Kolej Keenam UPM.
Meskipun kehadiran peserta boleh dikira dengan jari kerana sasaran agak terhad, tetapi pengisian keilmuan oleh Dr. Mohd Yusof sangat bermakna untuk difahami dan diamalkan oleh ahli da’ie, pendakwah dan golongan beriman yang hadir.
Bagaimanapun kata beliau, istilah-istilah bahasa Inggeris yang memonopoli dalam sains dan teknologi menjadikan manusia semakin jauh dari Tuhan.
Ini kerana jelasnya, tidak ada satu istilah sains dan teknologi berbahasa Inggeris pun yang membawa maksud dan bermatlamat kepada Tuhan serta ketuhanan (tentunya Allah s.w.t.).
“Sebab itulah kebanyakan ahli sains moden yang berjaya dan cemerlang tidak mempercayai pada Tuhan dan konsep ketuhanan,” katanya.
Sedangkan istilah-istilah bahasa Malaysia (apa lagi bahasa Arab) dalam teknologi dan sains jika diguna pakai sepenuhnya, tegas beliau, ia bukan sahaja mendekatkan saintis kepada Tuhan malah akan menjadikan mereka tunduk akur sebagai ‘hamba’ apabila semakin banyak penerokaan ilmu dibuat.
Semua hasil ilmu sains yang diterokai itu pula, menurut Dr. Mohd. Yusof yang juga ahli fizik yang terlibat dalam pelbagai organisasi penyelidikan sains peringkat antarabangsa, membantu memudahkan kehidupan seluruh ummah.
Untuk memahami alam, katanya, manusia mesti melepaskan dirinya dari nilai hidup, budaya dan emosi kerana sains tidak mampu menerangkan semua ilmu yang terkandung dalam al-Quran.
“Tetapi tidak dalam memahami al-Quran, kerana ia menerangkan prinsip dan konsep asas dalam semua keilmuan sains dan al-Quran berperanan untuk membangunkan nilai diri, budaya dan emosi individu.
“Sebab itu, setiap Muslim mesti membaca al-Quran dan cuba berusaha memahaminya melalui pelbagai kitab-kitab tafsir yang ada kerana ia bukan sahaja menenangkan jiwa yang resah malah cahaya petunjuk pada kekaburan hidup,” jelasnya.
Orang yang benar-benar takut akan Allah tegas beliau lagi, adalah alim ulama yang mendalam pengetahuannya mengenai isi kandungan al-Quran dan sains (keilmuannya).
Menurut Dr. Mohd. Yusof, mana mungkin Muslim dapat melaksana dan mengamalkan solat, puasa, zakat dan haji jika ilmu-ilmu sains dari dan dalam al-Quran tidak dikaji.
Sehubungan itu, beliau meminta seluruh Muslim membuat perubahan terhadap Islam dengan menafsirkan al-Quran dan sains secara beriringan, bermula dari dalam diri dan pada diri setiap individu itu sendiri.
Beliau kemudian turut menyaksikan pelancaran Tafsir Membongkar Rahsia Al-Quran oleh Pengarah Pusat Islam Universiti UPM, Dr. Amini Amir Abdullah yang diadakan pada akhir seminar tersebut.
Seminar yang dirasmikan oleh Pegawai Hal Ehwal Pelajar Pusat Islam Universiti UPM, Drs. Wan Aminurrashid Wan Abd. Hamid itu turut mengundang Komander Sukarelawan al-Falah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Kapten (B) Samsudi Moner sebagai penceramah.
Samsudi memenuhi slot beliau melalui ceramah bertajuk, ‘Konsep dan falsafah Tafsir Hadhari: Membongkar Rahsia al-Quran’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan